SPRM mohon notis merah buru Datuk Justin lari ke luar negara

Datuk Justin Lim Hwa Tat yang digantung daripada memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Sersol Bhd berkuat kuasa 30 Ogos lalu masih menghilangkan diri walaupun notis SPRM sudah diberi.

Pada 12 Julai lalu, Justin disenaraikan sebagai individu yang dikehendaki oleh SPRM bagi siasatan berkait dengan pembayaran tertentu yang dibuat Sersol melaluinya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan ke atas Justin berhubung kebimbangan berkaitan pembayaran tertentu yang dibuat Sersol kepada pihak ketiga berdasarkan arahan dan kelulusannya.

Berdasarkan pengambilan kenyataan dijalankan oleh SPRM, pembayaran yang diluluskan dan diarahkan oleh Justin adalah berhubung lima pembayaran berjumlah RM2.5 juta yang dibuat kepada HGC Legacy Enterprise dan direkodkan sebagai deposit pada April dan Mei 2023 dengan tujuan yang belum dimaklumkan kepada lembaga pengarah.

Susulan itu, Justin dikatakan telah berada lebih awal di luar negara namun tidak kembali ke tanah air walaupun telah diminta oleh syarikat dan SPRM  

Pada 26 Jun lalu, SPRM telah berkunjung ke dua buah kediamannya di Kuala Lumpur untuk menyerahkan notis berkenaan namun didapati salah sebuah premis tersebut dijual manakala satu lagi tidak dihuni oleh Justin.

Pada tarikh sama, SPRM juga pergi ke pejabatnya di ibu negara dan Johor namun Justin tiada di lokasi tersebut.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil semakan pihaknya dengan Jabatan Imigresen Malaysia, mendapati Justin telah meninggalkan negara ini pada Februari lalu dan tiada rekod masuk kembali ke negara ini.

Bagaimanapun, Justin dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya mendakwa dirinya tidak pernah menerima notis untuknya hadir membantu siasatan di bawah Seksyen 30 Akta SPRM 2009.

Malah, dia mendakwa tiada percubaan oleh SPRM untuk memberikan notis yang dinyatakan itu di tempat kerja atau kediamannya.

Justin dengan lantang mengatakan kenyataan SPRM berhubung pemberian notis itu merupakan gambaran palsu seolah dirinya mengelak daripada memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Justin memaklumkan secara rasmi telah melantik Tetuan Gobind Singh Deo & Co untuk mewakili dirinya sebagai wakil undang-undangnya semasa menjalankan penyiasatan itu.

Mesyuarat agong luar biasa (EGM) 25 Ogos Sersol berjaya menyingkirkan 3 lembaga pengarah termasuk bapanya sebagai Lim Tiong Siang sebagai pengerusi eksekutif. Menurut Sersol fungsi ketua pegawai eksekutif (CEO) Justin telah digantung berkuat kuasa 30 Ogos 2023, atas sebab dia telah menunjukkan sikap tidak taat dan gagal bertindak sebagai CEO yang bertanggungjawab.

Menurut Sersol, tindakan tersebut diambil disebabkan Justin tidak memberi maklum balas kepada mana-mana permintaan rasmi yang dibuat oleh lembaga pengarah sejak 20 Julai 2023, memintanya kembali ke pejabat untuk melaporkan kepada lembaga.

Menuru sumber SPRM, Justin masih dalam senarai individu diburu SPRM. Nama Justin turut disenaraikan dalam permohonan Notis Merah Interpol untuk membawa Datuk Justin kembali ke negara ini.

Justin dilaporkan berada di beberapa negara seperti Thailand, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, Dubai dan berpindah randah di negara-negara arab.

Dengan adanya Notis Merah Interpol akan mempercepatkan tangkapan terhadap Datuk Justin.

Leave a comment